CCT 7179

CCT 7179

Monday, 26 September 2011

HIBURAN DALAM ISLAM

Berhibur tiada salahnya, kerana Islam itu indah, hanya pabila salah memilihnya membuatkan kita jadi bersalah. Itulah sebahagian bait lagu yang didendangkan oleh kumpulan nasyid Raihan yang mencerminkan tentang keharusan untuk berhibur.  Sering terdapat pendapat yang mengatakan bahawa hiburan itu adalah haram, namun manusia itu sendiri tidak dapat lari dari memberi santapan kepada hati samada ia berbentuk negatif mahupun positif.  Yang menjadi persoalan ialah bagaimanakan konsep hiburan yang diharuskan dalam Islam dan kesan dunia hiburan terhadap umat Islam.
Dewasa kini rakyat Malaysia galak disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan yang merangsang jiwa. Baru-baru ini program Maharaja Lawak antara hiburan yang sering meniti di bibir remaja mahupun golongan bekerjaya. Dengan rating siaran tertinggi saban minggu menunjukkan betapa program tersebut disambut baik oleh masyarakat Malaysia. Beralih pula program  Imam Muda yang juga dikatakan menjadi pencetus kepada  hiburan Islam  tanah air sehingga menarik minat siaran televisyen luar negara untuk turut sama membuat liputan mengenai proses pemilihan Imam Muda. Inilah dua bentuk hiburan yang berbeza pentas, berbeza siaran dan berbeza konsep namun mempunyai pengertian yang sama iaitu sebagai hiburan qalb.
           Selain televisyen yang sentiasa menyajikan pellbagai konsep hiburan, pihak stesen radio turut memainkan peranan penting sebagai sumber informasi dan komunikasi antara masyarakat. Pertumbuhan saluran radio bagaikan mendapat tempat di hati pendengar. Sebut sahaja IKIM.fm, ERA.fm, SURIA.fm dan sebagainya, ia bagaikan kegilaan bagi mereka yang hauskan hiburan tidak kira apa coraknya. Dengan adanya radio terdapat juga maklumat yang berguna melalui  program  bicara addeen  yang  membicarakan  isu-isu  keagamaaan.
     Oleh itu marilah kita sama-sama meneroka dengan lebih mendalam mengenai jenis hiburan yang wujud di Malaysia secara lebih khusus, pengaruhnya terhadap masyarakat samada baik atau buruk, bagaimana ciri-ciri hiburan yang baik dan pandangan Islam terhadap dunia hiburan masakini dan bagaimana cara kita berdakwah menerusi hiburan,
Hiburan merupakan satu perkara yang sinonim dengan dunia remaja kerana fitrah semulajadi golongan remaja ialah suka berhibur. Tanyalah golongan remaja, maka tiada siapa yang menafikan hiburan merupakan satu pengisian jiwa, malah lebih tepat untuk hilangkan tekanan. Masyarakat turut mengenali artis-artis luar negara seperti artis Indonesia dan barat malah dapat menghafal setiap lirik lagu yang disampaikan mereka. Hal yang demikian turut mempengaruhi   kanak-kanak  dan  remaja   yang  kadangkala  menyiulkan  lagu-lagu berunsurkan percintaan atau yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka, ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh hiburan. Seiring dengan kecanggihan teknologi, hiburan radio turut boleh diperolehi melalui handphone , betapa mudahnya ia diperolehi dan semakin meluas lebih-lebih lagi bagi remaja yang kebanyakannya suka mengikuti perkembangan semasa baik dari segi material mahupun hiburan.
           Senario ini dapat membentuk perilaku belia, ini kerana hiburan yang disajikan kepada mereka dewasa kini banyak berunsurkan kelalaian dan dapat meresap ke dalam jiwa remaja mereka. Contohnya apabila satu-satu artis atau lagu artis diminati, maka berita atau hal berkenaan artis tersebut menjadi ikutan, gosip semakin berleluasa, duit pula akan dibelanjakan untuk membeli majalah-majalah hiburan. Maka majalah inilah yang akan ditatap dan dirujuk sepanjang pembesaran mereka sebagai syabab berbanding bahan bercorak ilmiah mahupun keagamaan. Setelah sebati dalam diri mereka maka trend artis tersebut pula akan dicontohi. Itulah fitrah yang berleluasa kini. Namun persoalan yang seterusnya ialah adakah hiburan yang kita pilih ini  mampu menjana ideologi yang merangsang minda ke arah perkara positif?
Sudah tentu jawapannya tidak!. Kita boleh melihat penyumbangan ini mungkin bermula dengan wujudnya hiburan yang tidak terkawal, contohnya melalui internet, sumber you tube sering menjadi pilihan pelayar internet yang mana banyak program yang melucahkan dan tidak sesuai ditonton oleh rakyat  Malaysia amnya  yang penuh dengan  budaya  kesopanan  dan  umat  Islam khasnya.  Hiburan mampu melahirkan seseorang individu yang baik mahupun jahat. Ini kerana pengaruh televisyen dalam menyajikan hiburan cukup besar dalam tersebarnya drama-drama bercorak percintaan tanpa menjaga batas syariat mahupun kisah seram yang khurafat. Kisah seram yang dipaparkan semakin pantas memenuhi ruang kaca TV Malaysia bertujuan untuk menarik golongan tertentu yang mana dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada kekayaan sesuatu institusi televisyen itu sendiri. Namun kesan buruknya, ia turut menimbulkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu yang khurafat contohnya kanak-kanak yang akan diasuh takutkan hantu selain dari Allah S.W.T. malahan banyak unsur-unsur penyembahan dan penundukan manusia terhadap jin belaan mereka dipersembahkan di kaca televisyen. Bagi yang dapat menilai mungkin ia tidak menjadi satu isu, bagaimana pula yang berfikiran cetek dan juga kanak-kanak yang baru mengenal alam.
Fenomena yang sama turut berlaku hari ini berkaitan dengan penyampai-penyampai media massa, ada yang menyampaikan kebenaran dan ada yang menokok tambah sesuatu maklumat. Terdapat juga maklumat yang disampaikan tidak mengikut kehendak Islam. Semuanya adalah semata-mata untuk mengaut keuntungan dan ada yang sengaja mempengaruhi masyarakat Islam agar terpesong akhlaknya seperti mengajak kepada fitnah menfitnah dan mengagungkan cara hidup barat contohnya menggalakkan pergaulan bebas. Sebagai umat Islam yang tinggal di negara Islam, mereka harus sedar tanggungjawab yang sebenar sebagai penyebar informasi Islam melalui media masing-masing.
Nabi Muhammad S.A.W. adalah ikon yang terbaik bagi umat Islam. Bagi yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sudah pasti malu untuk menggantikan figura lain di samping baginda sebagai idola.  Namun dek rentetan hiburan yang melampau-lampau  sebahagian umat Islam akhirnya tewas juga. Hanya sayup-sayup sahaja kedengaran suara syabab melaungkan nama Rasulullah S.A.W, sahabat serta para salaf as-soleh sebagai ikon dan qudwah hasanah, selebihnya seakan bercitarasa moden apabila membesarkan nama artis-artis tanah air dan yang lebih menyedihkan apabila artis luar negara seperti Justin Bieber, Super Junior dan Kareena Kapoor turut  menjadi pilihan.
Islam tidak melarang untuk kita mengikuti setiap perkembangan semasa yang berlaku disekeliling kita seperti berita dunia hiburan, mungkin ia akan menjadi satu iktibar atau pengajaran kepada umat Islam. Contohnya kes artis yang menghisap dadah agar bertujuan untuk menghilangkan perasaan gementar apabila berhadapan dengan peminat  ketika di atas pentas. Begitu juga kisah tangkap khalwat  yang sering mewarnai dada akhbar.  Dengan pendedahan akan hal tersebut sekurang-kurangnya dapat mengingatkan kita bahawa setiap maksiat yang dilakukan akan mendapat balasan yang sewajarnya daripada Allah S.W.T.
Namun, yang menjadi kerunsingan apabila kehidupan artis menjadi agenda nombor satu dalam rencah perbualan muda mudi masakini sehingga membawa kepada pembudayaan peribadi mereka sendiri. Tiada lagi perihal agama dan negara yang cuba dibincangkan. Contoh terdekat yang dapat dilihat ialah perang facebook. Disebabkan terlalu menyanjungi artis pujaan mereka mereka rela menghemburkan kata-kata kesat dan bergaduh sesama saudara Islam dilaman internet untuk mempertahankan idola masing-masing.
Melihat kepada fenomena ini tidak keterlaluan dikatakan bahawa artis membawa pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan peribadi seseorang. Tidak menjadi keganjilan bagi kita melihat wanita Islam yang memakai pakaian mendedahkan aurat dan mengikut fesyen artis kegemaran mereka. Tidak pelik kita melihat betapa akrabnya pergaulan antara lelaki dan wanita apabila konsert dan show hiburan dijalankan. Semua situasi ini menjadi kebiasaan bagi pandangan mata kita yang tinggal di negara Islam.
Apabila seorang pelakon wanita terkenal iaitu Wardina Saffiyah menguar-uarkan bahawa artis kita tidak layak dijadikan ikon, maka bangunlah para artis dengan marah menafikannya. Sedangkan pada hakikat dan realitinya sudah terpampang di depan mata kehidupan sosial artis yang boleh meracuni fikiran anak-anak muda. Ayuh kita selidik dari segi pemakaian mereka, adakah ia boleh melambangkan identiti seorang Islam apabila tidak memakai tudung, memakai pakaian ketat, jarang, terdedah dan mewarnakan rambut serta kuku?. Apakah mereka boleh dikatakan ikon apabila filem yang dilakonkan hampir 90 peratus terdapat pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim?. Alasan mereka mudah iaitu apabila diberikan watak seorang isteri atau emak maka tidak salah untuk mereka saling berpelukan dengan seorang lelaki demi penghayatan watak dan haruslah bersikap profesional. Nah, inilah jawapan yang tidak profesional bahkan tidak logik bagi yang bernama Muslim. Seandainya artis berstatus Islam tidak dapat menjaga kehormatan Islam, apatah lagi artis yang tidak Muslim. Akhir-akhir ini juga kita sering disajikan dengan kisah para artis yang positif dadah, ditangkap khalwat dan bergaduh sesama artis. Jadi, layakkah mereka digelar ikon?
Percetakan pula merangkumi pelbagai jenis termasuk akhbar dan majalah yang sering menjadi pilihan masyarakat untuk mengetahui perkembangan semasa. Malaysia sebetulnya ketandusan penulis-penulis yang sebenar-benarnya mengikut garis dan landasan yang betul.[1] Kebanyakan surat khabar yang dipaparkan lebih terjurus ke arah untuk meraih keuntungan, maka lambakan yang sering kita lihat di kedai-kedai ialah isu berkenaan rumahtangga artis yang bercerai, di manakah artis beraya, berapa nilai duit raya yang didermakan oleh artis atau hal yang sekecil-kecilnya yang mana perkara seperti ini tidak dapat kita jadikan iktibar untuk membangun motivasi diri, hanya boleh dijadikan hiburan ringan semata-mata. Maka secara tidak langsung ia sebenarnya memberi satu pendidikan kepada masyarakat bahawa begitulah caranya mencari hiburan sedangkan banyak lagi cara lain yang dapat di terokai oleh pembaca.
Di salah sebuah negara Arab, sebelum sesebuah majalah memasuki pasaran, ia akan diedit terlebih dahulu dari segi cover  majalah tersebut mahupun pengisian dalamnya, oleh itu gambar model yang memakai separuh pakaian juga tidak didedahkan kepada umum sebelum gambar tersebut diedit dengan menampilkan pakaian yang lebih tertutup dan sopan. Itulah syarat utama bagi majalah tersebut memasuki pasaran Arab. Berbeza dengan Arab atau negara yang seumpama dengannya, kita tidak terdidik dengan ‘ajaran’ seperti itu, maka pembaca akan mula muak mendengar kisah-kisah pembangunan atau hiburan yang bersifat galakan positif seperti berita mengenai program Akademi al-Quran, yang menjadi tatapan hanyalah Akademi Fantasia dan gosip-gosip panas semasa. Akhbar juga sering dijadikan medan untuk bertikam lidah dan menyuarakan pendapat yang menimbulkan pergaduhan sesama masyarakat dan akhirnya ia mewujudkan fitnah samada secara sedar atau tidak sedar. Ini semua demi kelangsungan keuntungan dari pembelian akhbar tersebut. Terdapat juga yang benar-benar menggunakan saluran ini sewajarnya, maka pengisian cerpen, sajak, tazkirah dan penyampaian maklumat dari sumber sahih  yang memeriahkan industri akhbar tempatan masa kini.
Islam sama sekali tidak bersikap jumud sehingga menghalang umatnya dari memberi sedikit makanan kepada hati. Dr. al-Qardhawi sendiri menggariskan beberapa dalil yang kuat digunakan oleh para ulama yang menghalalkan lagu dan muzik. Di antara dalil yang digunakan oleh mereka ialah beberapa hadis termasuk hadis tentang dua hamba wanita menyanyi di rumah Rasulullah S.A.W. di sisi Aisyah R.A.
Dalam satu hadis lain Rasulullah S.A.W. bersabda:

“ Apakah kamu sudah memberi hadiah pada gadis (pengantin baru) itu? “ Mereka berkata: “ Ya (sudah)”. Nabi berkata: “ Apakah kamu sudah mengirimkan bersamanya orang yang menyanyi?”  Aisyah berkata, ``Belum.'' Maka Rasulullah S.A.W. bersabda: “ Sesungguhnya sahabat Ansar itu kaum yang sukakan hiburan, kalau seandainya kamu kirimkan bersama gadis itu orang yang menyanyikan: ``Kami datang kepadamu... kami datang kepadamu... selamat untuk kami dan selamat untuk kamu.''

            Itulah Islam. Hadirnya tidak langsung memberikan kesusahan kepada umatnya bahkan bertujuan menghindari kita dari segala aspek kelalaian dan kemungkaran.  Pelbagai irama lagu yang dapat kita saksikan lewat akhir-akhir ini. Lihatlah bagaimana kedatangan Maher Zain di persada hiburan Malaysia. Betapa lagu dan identiti beliau diterima baik oleh setiap lapisan masyarakat. Dengan niat untuk menyampaikan dakwah bil qaul , impiannya telah menjadi kenyataan. Dendangannya berjudul InsyaAllah selain menghiburkan, ia turut mengandungi mesej yang bermakna untuk manusia.
            Tidak susah untuk kita memilih hiburan manakah yang diredhai Allah dan Islam. Tidak susah juga seseorang artis itu mengetahui apakah konsep lagu yang perlu didendangkan kepada umum dan menepati kriteria yang digariskan Islam. Setiap individu Islam perlu memilih hiburan yang berunsurkan mendidik jiwa dan membentuk peribadi ke arah positif. Ia haruslah tidak melalaikan seperti memuja-muja wanita melebihi dari sepatutnya. Terdapat pelbagai lagu yang mengalunkan kekecewaan pasangan kekasih yang putus cinta dan ada juga yang menggalakkan hubungan antara lelaki dan wanita agar bercinta. Hasilnya, tiada langsung unsur semangat yang diterapkan di dalam lagu tersebut  melainkan berputus asa apabila kecewa bercinta dan mengajak kepada perhubungan yang terlarang dalam Islam apabila dilamun cinta, keadaan begini jelas membuang masa umat Islam di Malaysia.
            Setiap perkataan atau skrip yang dihasilkan tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan akidah atau menyalahi syariat Allah S.W.T., memburuk-burukkan Rasulullah S.A.W. memperlekehkan para sahabat dan meragui hari Kiamat dan pembalasan dosa.[2]  Lirik yang dihasilkan juga haruslah mencorakkan jatidiri Islam sebagai agama yang Agung. Bukanlah bermaksud lirik tersebut berunsurkan patriotik iaitu hanya berkisar mengenai ketuhanan atau kenegaraan semata, tetapi setiap lirik yang dihasilkan haruslah berpaksi dan kembali kepada dasar keimanan sebagaimana lagu For The Rest Of My Life nyanyian maher Zain. Lirik lagu tersebut ditujukan untuk para isteri solehah yang sentiasa mendambakan keredhaan Allah S.W.T. dengan ketaatan kepada suami tercinta.  
            Bagaimana pula dengan corak persembahan mereka?. Jika diperhati konsert yang dianjurkan oleh badan korporat dan individu tertentu wajib dihadiri kaum lelaki dan wanita. Hiburan pula samada terbuka atau tertutup tidak menyekat langsung untuk mereka saling bertembung mata, bergesel bahu sesama lain jantina. Maka bentuk program sebegini sama ada yang disiarkan di televisyen, mahupun secara langsung haruslah dijauhi. Program yang mengandungi percampuran antara lelaki dan wanita dengan menggalakkan ke arah maksiat tidak patut sama sekali dianjurkan melainkan kedudukan lelaki dan perempuan diasingkan. Penghibur juga tidak boleh terdiri dari kalangan wanita yang boleh mengundang fitnah kerana bahasa tubuh dan lenggokan suara manja yang boleh menggoda lelaki. Seandainya seorang wanita itu masih ingin mempersembahkan lakonan atau nyanyian mereka, maka lebih elok dijalankan di sebuah tempat tertutup yang hanya dihadiri oleh kaum wanita sahaja. 
            Setiap persembahan juga haruslah tidak melalaikan pendengar atau penontonnya sehingga menghalang dari melaksanakan kerja yang lebih penting seperti menuntut ilmu, bekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga.[3]  Garis panduan ini amat berbeza dengan konsep hiburan yang dibawa oleh penggiat seni masa kini. Hal ini disebabkan apabila sesuatu persembahan dijalankan ia selalunya bermula dari petang dan membawa sehingga waktu malam. Sudah dapat diagak  berkenaan perlaksanaan  solat mereka, lebih-lebih lagi kaum wanitan yang mengambil masa berjam lamanya untuk dirias.
Kesimpulan yang dikeluarkan fatwa Al-Azhar mengenai hiburan adalah pergerakan dan permainan perempuan yang terbuka kepada khalayak boleh menimbulkan fitnah dan hukumnya haram. Perempuan juga diharam menari walaupun dengan suaminya sendiri di khalayak ramai dan termasuk di dalam kumpulan yang melakukan dosa dan yang terakhir ialah sesiapa yang meredhai perbuatan tersebut samada hadir ataupun tidak maka ia adalah sama dengan melakukan maksiat.[4]
Dari perbahasan secara ringkas di atas dapat disimpulkan bahawa hiburan adalah satu  wasilah yang harus dalam memenuhi fitrah kehidupan. Namun apabila membayangkan dunia kini semakin maju dalam menyalurkan seni hiburan sehingga ia diletakkan di taraf yang tinggi di kalangan masyarakat. Pandangan, perlakuan dan kehidupan mereka lebih dipandang tinggi di sisi masyarakat berbanding ulama’. Ini berpunca dari pengaruh buruk sesetengah artis yang hidup dalam dunia yang penuh social dan melalaikan. Perkara yang menjadi kerunsingan di sini ialah apabila golongan artis ini turut menjebakkan anak-anak muda ke arah kerosakan akhlak dengan meniru budaya mereka. Bertitik tolak dari hal tersebut maka permasalahan ini haruslah ditangani, pelbagai perkara boleh dilaksanakan dan kerjasama dari semua pihak amat penting.
Salah satu tanggungjawab ialah perlu dimainkan oleh medium media massa. Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa perlu turut menjadi perantara yang membolehkan isu hiburan ini dibincangkan secara ilmiah. Sebelum kita mencela dan memaki hamun golongan remaja yang bermasalah dalam seribu satu bahasa. Masyarakat perlu memikirkan dan mengambil langkah membendung dan mengatasi hal ini. Cetusan-cetusan idea oleh setiap ahli dalam masyarakat perlu juga diambil kira. Justeru itu, peranan yang dimainkan oleh media massa dan elektronik ini amatlah penting dan dilihat sebagai satu pemangkin bagi mencari penyelesaian isu ini.
Media elektronik juga boleh mensosialisasi semula rancangan-rancangan yang disiarkannya, ini sebagai metod dakwah dalam membantu kerajaan menangani isu ini. Senario perfileman Melayu kini banyak menghasilkan filem-filem yang bercorak remaja seperti Mat Rempit, V3, Kongsi dan sebagainya. Namun kesan yang negatif lebih banyak disajikan berbanding positif. Perubahan rancangan-rancangan televisyen perlu dilakukan iaitu dengan melambakkan lagi slot zikir untuk siaran tv tidak berbayar
Medium penyiaran mempunyai kelebihan untuk menyampaikan mesej kepada khalayak dengan cepat dan jumlah yang besar. Dalam menyebarkan mesej dakwah, ternyata penyiaran di negara ini telah melalui liku-liku pengalaman tersendiri dan memainkan peranan penting sebagai sumber yang membekalkan khalayak dengan mesej Islam. Sentimen kesedaran khalayak kepada penghayatan Islam telah diperkukuhkan dengan fungsi yang dimainkan oleh medium penyiaran dan ia dijadikan sebagai wadah untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam serta tafsiran-tafsiran yang betul berkaitan dengannya. Memandangkan cabaran kewujudan pelbagai rangkaian dan persaingan pelbagai program, rancangan-rancangan agama di radio dan TV perlu sentiasa dipantau dan diperbaiki sama ada dari aspek persembahan, format, panelis dan juga imej keseluruhan agar rancangan tersebut lebih menarik. Selain itu, penglibatan mereka dalam bidang pengajian Islam yang menguasai mauduk Islam perlu dipertingkatkan dalam bidang penyiaran seperti penulis skrip, artis, penerbit dan juga pentadbir, dan mereka perlu berubah kepada sikap yang lebih proaktif.
            Di sini kami sertakan antara rancangan yang perlu diperbanyakkan lagi di kaca televisyen. 
Rancangan
Forum Perdana Ehwal Islam
Fardu Jumaat
Furqan
Jejak Qari/Ah
Al-Kuliyyah
Al-Hidayah
An-Nur
Nasyid
Khutbah Jumaat
Zikir
Keluarga
Kesihatan
Hiwar

Siaran waktu azan juga perlu disiarkan setiap waktu di semua saluran. Drama-drama juga perlu ditapis sebelum disiarkan, lebih-lebih lagi drama daripada luar yang banyak menonjolkan aktiviti seks, dan gejala sosial yang lain.
Apa yang dapat diibaratkan ialah hiburan itu umpama pisau. Pandai kita menggunakannya maka dapatlah memotong mentimun, namun apabila salah kita menggunakannya maka mendapat luka di jari, maka belajarlah cara menggunakannya terlebih dahulu dengan pengawasan dan pendidikan dari ibu bapa mahupun diri sendiri sebelum diri kita luka dan parah di sebabkan pengaruh tersalah memilih hiburan yang memakan diri. Kita tidak dapat menghalang perkembangan dunia hiburan yang berlumba-lumba menerjah ke panggung wayang rumah kita namun wajib ke atas kita memilihnya dengan cara yang betul dan hiburan tersebut sewajarnya memandu ke arah kebaikan.




1 comment: